suria

BTN Baik Untuk Semua Tanpa Mengira Fahaman Politik - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Semangat patriotisme yang diterapkan dalam kursus Biro Tata Negara (BTN) baik untuk semua pihak bukan sahaja penyokong kerajaan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata adalah tidak wajar untuk takut dengan perisian yang diterapkan BTN agar rakyat menyintai negara berdasarkan konsep 1Malaysia.

Shahrizat berkata melalui pengalamannya menghadiri kursus BTN, tidak timbul soal perkauman dalam kursus itu.

"Kerajaan Selangor hanya memperbesarbesarkan cerita, saya pernah menghadiri BTN dan ia lebih kepada pemikiran positif, patriotisme dan tidak timbul isu perkauman," katanya kepada pemberita di majlis Hari Raya Aidiladha anjuran Wanita Umno Bahagian Kepong di sini hari ini.

Rabu lepas, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor Dr Halimah Ali mengambil keputusan melarang kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri itu daripada mengikuti kursus BTN berkuat kuasa serta-merta.

Langkah itu diambil kononnya kursus tersebut didakwa sebagai proses doktrinisi Barisan Nasional hingga mencetuskan fenomena perkauman, memecahbelahkan penduduk pelbagai kaum, agama dan menimbulkan kebencian kepada pembangkang.

Di BAHAU, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata keputusan kerajaan Selangor melarang kakitangan awam dan pelajar IPT milik negeri itu daripada mengikuti kursus BTN sematamata bertujuan politik.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor dan Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata anggota pembangkang cuba mencipta isuisu yang baru untuk menutup kelemahan mereka.

"Seperti di negeri Selangor, satusatu isu yang mereka membangkitkan ialah isu dalaman sesama mereka supaya rakyat lupa akan janjijanji pembangkang pada pilihan raya umum lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Korban Perdana Jempol 2009 anjuran Umno Bahagian Jempol dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan di padang awam Raja Alias 2, dekat sini.

Mengulas gesaan Penasihat DAP Lim Kit Siang menuntut supaya BTN ditutup terus, Noh menganggap Lim macam 'orang buta'.

"Macam orang buta nak bercakap pasal benda yang dia tidak pernah nampak. Macam mana Lim Kit Siang nak bercakap pasal BTN sedangkan dia tidak pernah mengikuti kursus BTN ini," katanya. BERNAMA

Artikel Lain