suria

Lelaki Didakwa Miliki Peluru Dan Ugut Teman Wanita

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini terhadap pertuduhan memiliki empat butir peluru, mengugut dan melepaskan tembakan ke arah kedai salun milik teman wanitanya selepas berlaku perselisihan faham.

Bagi pertuduhan pertama, Abdull Jabar Suzlan, seorang pekerja salun di kedai itu didakwa memiliki empat butir peluru jenis 7.56 MMBALL mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau keduaduanya jika sabit kesalahan.

Dia turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengugut teman wanitanya Noraina Yusof, 38, menggunakan sepucuk pistol Walther PPKS 9mm, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau keduaduanya jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa sengaja melepaskan tiga das tembakan menggunakan pistol yang sama ke arah kedai salun itu, mengikut Seksyen 39(a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 43 akta yang sama sehingga setahun atau denda RM2,000 atau keduaduanya jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai Saloon My Beauty Studio beralamat No 51 Jalan AWF 3, Ampang Waterfront, Ampang, pada 12.45 tengah hari, 13 November lepas.

Majistret Wan Karimah Wan Ahmad tidak memberi tertuduh sebarang jaminan memandangkan kes itu tidak boleh dijamin dan menetapkan 23 Disember ini untuk sebutan.

Sebelum itu, Abdull Jabar yang berasal dari Pulau Pinang turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenis Walther tanpa lesen yang sah.

Abdull Jabar, 23, yang diwakili peguam Mery Song, didakwa memiliki pistol jenis Walther PPKS 9mm itu di tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 8 (Penalti Lebih Berat) Akta Senjata Api 1970 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan enam kali sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa ASP Dr A. Vasu.

Hakim Noradidah Ahmad menetapkan tarikh yang sama iatu 23 Disember ini untuk sebutan semula kes. BERNAMA

Artikel Lain