suria

Exco P.Pinang Batalkan Status Rahsia Minit Mesyuarat Mengenai Isu Tanah

PULAU PINANG: Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini bersetuju untuk membatalkan status kerahsiaan minit mesyuarat berhubung sekeping tanah yang akan dibangunkan oleh PDC Heritage Hotel Sdn Bhd (PHH).

Katanya keputusan itu mampu memberi gambaran yang jelas tentang tujuan sebenar penukaran hak milik tanah daripada pegangan pajakan kepada hak kekal yang akan dibangunkan oleh PHH.

"Selepas mendeklasifikasikan minit mesyuarat itu, orang ramai dapat mengetahui latar belakang lebih jelas berkaitan dengan keputusan tanah berkenaan. Ia akan diedar kepada media esok," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pulau Betong, Muhammad Farid Saad, mendakwa Lim memberi maklumat salah kepada Dewan Undangan Negeri apabila memaklumkan bahawa tiada pertukaran status pegangan tanah dibuat di negeri itu dari April hingga Jun tahun ini tetapi terdapat laporan menyatakan kerajaan negeri telah meluluskan permohonan untuk menukar tempoh pegangan secara pajakan kepada kekal.

Lim juga berkata, mesyuarat hari ini juga meluluskan pelantikan Setiausaha Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Patahiyah Ismal, 54, untuk memangku tugas Yang Dipertua MPPP, Tan Cheng Chui, yang bersara awal. BERNAMA

Artikel Lain