suria

Pura-Pura Mahu Pajak Sebelum Samun Barang Kemas Hampir RM30,000

KUALA LUMPUR: Dua lelaki nekad menyamun sebuah kedai pajak dan melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM30,000 dalam kejadian ketika hujan lebat di Taman Kinrara di Puchong dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata dalam kejadian kira-kira 3.45 petang itu, dua lelaki tempatan itu dikatakan memasuki kedai berkenaan kononnya untuk memajak barang kemas mereka.

"Ketika bertanyakan barang yang ingin mereka gadai, tiba-tiba seorang daripadanya bertindak agresif dengan menutup mulut seorang pekerja wanita yang berseorangan ketika kejadian itu.

"Seorang lagi suspek pula memaksa mangsa membuka sebuah peti besi yang dipercayai mengandungi barang kemas...namun mangsa yang panik itu tidak memiliki kunci berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam semalam.

Beliau berkata berang dengan alasan yang diberikan mangsa, kedua-dua lelaki itu kemudian melarikan diri bersama-sama peti besi itu.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel Lain