suria

PPP Minta Murugiah Henti Buat Kenyataan Babitkan Parti Itu

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP) mahu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah berhenti membuat kenyataan yang membabitkan PPP kerana beliau bukan lagi anggota parti itu.

Ketua Penerangan PPP A. Chandrakumanan berkata Pendaftar Pertubuhan (ROs) sudah pun mengesahkan pemecatan keahliannya daripada PPP dan mengisytiharkan mesyuarat agung luar biasa yang diadakan oleh Murugiah itu tidak sah.

Sehubungan itu, katanya Murugiah tidak perlu lagi membuat pelbagai kenyataan berkaitan PPP kerana ia hanya akan mengelirukan anggota parti dan orang ramai selain boleh menjejaskan imej PPP sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN).

Ditanya sama ada PPP akan mengambil sebarang tindakan jika Murugiah terus membuat kenyataan berkaitan PPP pada masa depan, Chandrakumanan berkata perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi PPP.

Ketua Penerangan PPP itu juga mahu kepimpinan BN mengambil tindakan terhadap Murugiah jika beliau terus membuat kenyataan berkaitan PPP. BERNAMA

Artikel Lain