suria

Tukang Gunting Gagal Dalam Rayuan Ringankan Penjara 20 Tahun

PUTRAJAYA: Seorang tukang gunting rambut gagal dalam rayuannya untuk meringankan hukuman apabila Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 20 tahun yang dikenakan terhadapnya selepas disabit dengan kesalahan mengakibatkan kematian seorang rakannya empat tahun lalu.

V. Karthiselvam, 30, merupakan pesalah pertama yang dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Beliau pada mulanya dijatuhi hukuman penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan itu, namun Mahkamah Rayuan menambah tempoh hukuman itu menjadikan ia kepada 20 tahun selepas mendapati hukuman yang dikenakan oleh mahkamah Tinggi itu tidak mencukupi.

Karthiselvam yang diwakili peguam Datuk N. Sivananthan, merayu kepada Mahkamah Persekutuan supaya hukuman asal yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi dikembalikan.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dalam menolak rayuan itu berkata Mahkamah Rayuan bertindak betul apabila mengenakan hukuman maksimum selepas melihat keadaan kes itu yang membabitkan pembunuhan ngeri.

"Kami tidak akan campur tangan dalam keputusan Mahkamah Rayuan, dan dengan itu kami mengenepikan rayuan ini dan mengekalkan hukuman yang dijatuhi oleh Mahkamah Rayuan," kata beliau yang duduk bersama dengan hakim Datuk Hashim Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embung.

Karthiselvam dituduh mengakibatkan kematian M.Venkatachalan, 38, di sebuah kedai gunting rambut di Taman Sri Bahagia, Larkin, Johor Bahru, antara pukul 3 pagi dan 7.45 petang, pada 6 Mac 2005.

Tertuduh yang mencuri wang serta telefon bimbit Venkatachalan menghentak kepada lelaki itu dengan batu pengisar semasa beliau sedang tidur bagi menyembunyikan kesalahannya.

Dalam prosiding hari ini peguam Sivananthan berkata anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan mengaku salah terhadap pertuduhan itu, oleh itu anak guamnya itu seharusnya dijatuhi hukuman yang lebih ringan, dan tidak dikenakan hukuman penjara maksimum.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache bagaimanapun berkata tidak menjadi kesalahan bagi mahkamah menjatuhi hukuman maksimum memandangkan kepentingan orang ramai dalam kes ini perlu diberikan keutamaan. BERNAMA

Artikel Lain