suria

Pekerja Bot Dikhuatiri Lemas Terjatuh ke Laut

ALOR GAJAH: Seorang pekerja sebuah bot penumpang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut berhampiran pelabuhan Kuala Linggi dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt. Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata kejadian itu berlaku pukul 8 pagi ketika mangsa Rosmarnirsyam Rosli, 25, bersama bapanya Rosli Samah, 52, dan seorang lagi pekerja bot itu, dalam perjalanan untuk mengambil anak kapal dagang yang berlabuh di perairan Kuala Linggi bagi dibawa ke pelabuhan.

"Mangsa yang ketika kejadian berada di bahagian hadapan bot dipercayai tiba-tiba terjatuh ke laut," katanya kepada pemberita di pelabuhan Kuala Linggi di sini hari ini.

Kejadian itu berlaku kira-kira 3 batu nautika dari pelabuhan Kuala Linggi.

Umar Ali Shaifuddin berkata polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu kini sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa, dianggotai 67 anggota dari Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Suasana di jeti pelabuhan itu agak pilu dengan kehadiran ramai saudara-mara mangsa termasuk ibu bapanya yang menunggu usaha mencari itu.

Sementara itu, Rosli dari Taman Desa Bayu, Kuala Linggi berkata beliau yang memandu bot berkenaan sempat melihat anaknya yang berada di bahagian hadapan tiba-tiba terjatuh ke laut.

"Saya cepat-cepat berhentikan bot dan cuba mencari dari atas bot selama sejam tetapi anak saya tidak muncul-muncul, selepas itu saya pulang ke pelabuhan dan membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata anak sulung daripada empat beradik itu telah lama bekerja bersama beliau dan pandai berenang namun tidak disangka kejadian itu boleh menimpa anak lelakinya itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Banjir Mula Melanda Kelantan

Artikel Lain