suria

Sistem ganjaran penjawat awam akan diperkenalkan

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan sistem ganjaran yang lebih berkesan untuk memotivasikan penjawat awam dalam usaha memperkasakan budaya kerja berprestasi tinggi di dalam sektor awam di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sistem ganjaran yang akan diwujudkan itu nanti berbeza dengan sistem ganjaran secara 'melintang dan menegak' yang digunapakai pada ketika ini.

"Saya percaya kita perlu mewujudkan sistem ganjaran yang baru kerana saya lihat sistem sedia ada sudah tidak lagi berkesan kerana ada 'pihak tertentu' yang telah berpakat dalam perkara tersebut.

"Kalau tahun ini orang ini (diberikan anugerah pekerja terbaik), tahun depan pula orang itu pula dapat. Jangan kata perkara ini tidak berlaku kerana saya tahu ia memang wujud," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini pada Isnin.

Najib berkata, perkara tersebut perlu segera dilaksanakan kerana sektor awam merupakan sektor yang paling kritikal dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersama timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan sedang memikirkan kaedah yang sesuai untuk memperkenalkan sistem ganjaran yang benar-benar berkesan agar dapat memotivasikan penjawat awam di negara ini.

Najib berkata penggubalan sistem ganjaran itu juga menunjukkan bahawa kerajaan tidak bertolak-ansur kepada isu penyalahgunaan kuasa, mediokrasi, namun kerajaan akan memberi ganjaran kepada penjawat awam yang mempamerkan budaya kerja berprestasi tinggi.

"Kita kena bagi ganjaran kepada jabatan yang kutip cukai meningkat dan kemungkinan beri ganjaran kepada jabatan yang berjaya dalam pendakwaan.

"Kita boleh beri ganjaran mungkin jabatan yang buat kajian dan penyelidikan (R&D) yang menghasilkan sesuatu yang luar biasa," katanya.

Oleh yang demikian, Najib berkata beliau tidak mahu perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak akan berulang lagi kerana ia boleh memberi kesan kepada kerajaan.

"Ini kerana setiap kali ada laporan, rakyat akan jadi sinikal, rakyat kata laporan ini, tidak ada tindakan. "Semuanya cerita lama, maknanya prestasi kita tidak akan bertambah baik dan rakyat akan mencemuh kita, dan sudah tentu ini akan memberi kesan kepada kerajaan," katanya.

Najib juga berkata, ketua-ketua jabatan tidak boleh bertolak ansur kepada prestasi pekerja bawahan yang tidak mencapai tahap yang memuaskan jika mereka ini melakukan kerja yang tidak mencapai tahap mutu dan kualiti yang dikehendaki.

"Bukan kita marah dia, atau mencampak fail tetapi jemput dia ke bilik kita dan terangkan kepada dia kerja mereka ini tidak sampai kepada tahap kualiti yang saya kehendaki sebagai ketua jabatan. Hanya dengan perkataan seperti itu, ia sudah memadai.

"Tak payah tumbuk meja, tak payah nak bertempik. Sebagai ketua jabatan anda hanya sebut beberapa perkataan, saya jamin, pegawai anda, pada satu masa nanti, akan menghasilkan kerja yang bermutu," katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat penyelewengan kewangan yang berlaku dalam jabatan kerajaan yang dinamakan dalam laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini.

Najib berkata perkara tersebut bagi memastikan mereka yang "sengaja melanggar undang-undang" akan dibawa ke muka pengadilan menerusi siasatan yang akan dijalankan.

Artikel Lain