suria

Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar dirancang untuk segerakan pembangunan desa

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencuba alat muzik tradisional Gamelan ketika melawat gerai pameran Sanggar Budaya Gong Guchil yang ditubuhkan oleh Zahari Mat Din (kanan) selepas menyampaikan Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2009 di Kampung Mawai di sini, hari ini. Turut kelihatan Isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abd Rahman (tiga, kanan).-Foto BERNAMA.

KOTA TINGGI: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) diminta supaya mengubal satu Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar Nasional bagi mempercepatkan proses pembangunan desa di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelan induk pembangunan itu akan menyediakan hala tuju, strategi dan dasar pembangunan luar bandar yang komprehensif termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Pelan Pembangunan itu hendaklah mengambil kira pelan tindakan daerah dan pelan tindakan desa, meliputi semua jabatan dan agensi kerajaan," katanya semasa merasmikan majlis penutup dan penyampaian Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2009 di Kampung Mawai Baru di sini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata Penggubalan Pelan Induk Pembangunan itu juga merupakan satu daripada lima cadangan yang dikemukakannya kepada KKLW bagi membolehkan ia mencari jalan alternatif dan kaedah baru di dalam usaha untuk membangunkan kawasan luar bandar.

Katanya cadangan kedua pula melibatkan langkah kementerian berkenaan menstruktur semula sistem perancangan desa di peringkat daerah, dengan Pejabat Daerah mengambil kira Pelan Tindakan Desa yang dihasilkan oleh penduduk kampung dalam perancangan pembangunan daerah masing-masing.

Muhyiddin berkata beliau turut mencadangkan supaya kementerian itu membentuk Kumpulan Pembimbing Pelan Desa dari kalangan masyarakat kampung, dan melibatkan individu seperti guru sekolah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, pesara kerajaan dan ahli perniagaan.

"Dengan cara ini proses penyediaan pelan tindakan dapat diperluaskan dengan lebih cepat," katanya.

Katanya beliau juga mengusulkan supaya kementerian itu memberi perhatian terhadap aspek berkaitan pembangunan modal insan dan mahukan supaya peluang pendidikan pra-sekolah kepada kanak-kanak luar bandar disediakan seluas-luasnya. "Saya berharap Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sentiasa memastikan mutu pengajaran dan ko-kurikulum yang bermutu kepada kanakkanak di luar bandar selaras dengan program PERMATA," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau turut meminta supaya sinergi antara kementerian dan Institusi Pengajian Tinggi ditingkatkan bagi membolehkan mahasiswa memberikan sumbangan yang positif dalam membentuk dan merangka pelan yang komprehensif.

Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa mengutamakan pembangunan di luar bandar dengan menyediakan pelbagai peruntukan dan program untuk membangunkan masyarakat serta membasmi kemiskinan di kalangan mereka.

Terdahulu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam ucapannya pada majlis itu berkata bagi memastikan masyarakat desa terus membangun, kementerian itu akan memberikan perhatian secara menyeluruh dalam setiap aspek.

Beliau berkata dalam meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat luar bandar, kerajaan menerusi Bajet 2010 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyediakan peruntukan RM2.3 bilion khusus untuk pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar.

Sementara itu Anugerah Ilham Desa tahun ini dimenangi oleh Kampung Kilim, Langkawi menerusi projek Ekonomi Nelayan Kilim, diikuti tempat kedua oleh Kampung Gong Guchil, Besut dengan projek Sanggar Budaya, manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Kampung Mawai Baru, Kota Tinggi menerusi projek Pembangunan Tanah Wakaf. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain