suria

Laporan jambatan runtuh dibentang pada mesyuarat khas Sabtu ini

IPOH: Semua laporan dan hasil siasatan berhubung kejadian jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan sehingga mengakibatkan tiga murid maut akan dibentang pada mesyuarat jawatankuasa khas Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri Mohd Zahir Abdul Khalid berkata mesyuarat yang dijangka berlangsung di sini pada pukul 10 pagi itu akan diketuai Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

"Semua pihak yang terbabit termasuk Jabatan Pelajaran, Jabatan Kerja Raya dan polis akan bersamasama dalam mesyuarat khas itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selain itu, difahamkan beberapa pihak termasuk syarikat yang membina jambatan berkenaan, guru dan PPD telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

Selasa lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas itu untuk membuat siasatan terperinci bagi menentukan fakta sebenar yang membawa kepada insiden berkenaan dan membentangkan laporan itu kepada Alimuddin.

Muhyiddin berkata walaupun beliau dimaklumkan jambatan gantung itu adalah sumbangan sebuah syarikat, jawatankuasa berkenaan akan menyiasat sama ada pengawasan ketika kerja pembinaan jambatan gantung itu telah dilaksanakan dan sama ada pembinaan jambatan gantung itu mengikut spesifikasi yang sepatutnya.

Dalam kejadian Isnin lepas, tiga murid perempuan ditemui lemas selepas hilang apabila jambatan gantung yang mereka guna untuk menyeberang Sungai Kampar di pusat ko-kurikulum itu runtuh pada kirakira pukul 10.30 malam.

Kejadian malam tadi berlaku semasa aktiviti ko-kurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran PPD Kinta Selatan yang membabitkan 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah.

Mayat Dina Dewe a/p Nathan, 11, ditemui pada pukul 8.40 pagi Selasa lepas berhampiran loji di sungai itu kira kira empat kilometer dari tempat dia terjatuh Mayat Diryasree a/p Vasudevan, 12, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng ditemui pada pukul 10.45 pagi ini berhampiran Tronoh Mine, Sungai Kinta, 25 km dari tempat kejadian manakala mayat Davadharshini a/p Maheswaran, 11, dari SJK (T) Mambang Diawan ditemui terapung pada pukul 11.30 malam tadi berhampiran Jambatan Mat Selangor, Tanjung Tualang, 15 km dari tempat kejadian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain