suria

Kes Uthayakumar: Keputusan pembelaan untuk dapatkan dokumen pada 4 Nov

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 4 Nov bagi memutuskan sama ada pihak pendakwaan perlu memberikan dokumen yang diminta P.Uthayakumar bagi menyediakan pembelaan dalam perbicaraan kes hasutan yang dihadapinya.

Hakim Sabariah Othman menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badarudin dan peguam N.Surendran yang mewakili Uthyakumar.

Terdahulu Noorin berhujah bahawa dokumen yang dipohon oleh pihak pembelaan seperti Kertas Putih atau laporan yang disediakan oleh pihak polis mengenai kejadian Kampung Medan pada 2000, laporan mengenai inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan inkuiri Suruhanjaya Diraja tidak diberikan kerana ia tidak relevan.

Noorin berhujah semua dokumen itu tiada dalam simpanan pihak pendakwaan dan pihaknya juga tidak bercadang menjadikan dokumen berkenaan sebagai keterangan dalam mahkamah.

"Pihak pembelaan tidak boleh meminta daripada pendakwaan untuk mengemukakan segala dokumen mengenai perkara itu kerana pendakwaan tidak akan berbuat demikian di mana ia tidak diperlukan sebagai keterangan nanti," kata Noorin.

Uthayakumar, 48, seorang peguam, dituduh menyiarkan surat berunsur hasutan dalam laman web yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Surat bertarikh 15 Nov itu adalah dari kumpulan aktivis penganut Hindu, Hindraf, yang dialamatkan kepada Perdana Menteri Britain Gordon Brown di No 10, Downing Street, London.

Surendran dalam hujahnya berkata dengan ketiadaan dokumen itu, tertuduh telah diprejudiskan haknya kerana tanpa dokumen itu anak guamnya tidak dapat membuktikan dirinya tidak bersalah.

"Mengapa pihak pendakwaan ingin merahsiakan dokumen itu sedangkan ianya adalah penting dalam kes ini kerana tuduhan ke atas anak guam saya membabitkan isu penghapusan etnik yang berlaku di Kampung Medan, sembilan tahun lalu," kata Surendran.

Katanya lagi, dokumen itu juga penting bagi memastikan tertuduh mendapatkan perbicaraan yang adil.

Uthayakumar yang duduk di kandang tertuduh bangun secara tibatiba menyatakan kesemua dokumen itu sangat penting kerana terlalu banyak surat yang dihantar olehnya kepada perdana menteri (ketika itu) bagi mengetahui punca sebenar bagaimana kejadian itu berlaku.

"Pihak pendakwaan perlu berani untuk mengemukakan dokumen tersebut seperti pepatah 'berani kerana benar takut kerana salah',"kata Uthayakumar. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain