suria

Sidang DUN Perak: Kali ini polis tak akan biarkan keadaan jadi kecoh - CPO

IPOH: Polis meminta semua pihak terutama penyokong parti-parti politik supaya tidak menimbulkan kekecohan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Rabu ini.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Abdullah berkata, semua Anggota DUN juga diharap tidak menimbulkan kekecohan semasa bersidang sehingga boleh menimbulkan keadaan yang tidak baik.

Beliau berkata, polis akan menjalankan tanggungjawab untuk memastikan keadaan terkawal semasa perjalanan sidang DUN dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang sengaja menimbulkan kekecohan.

"Orang-ramai dan penyokong parti juga tidak terkecuali dan tindakan akan diambil sekiranya berhimpun atau menimbulkan kekecohan di luar Bangunan Perak Darul Ridzuan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di kawasan Greentown Business Centre di sini hari ini.

Zulkefli berharap semua pihak mengambil iktibar daripada sidang DUN yang lalu apabila berlaku kekecohan di dalam dan luar dewan. Katanya, polis hanya menjalankan tugas memastikan ketenteraman dan jika ada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), penyokong atau orang ramai yang menimbulkan kekecohan, tindakan tegas akan diambil.

Sidang DUN Perak bagi membentangkan Bajet 2010 akan berlangsung di Dewan Undangan Negeri Perak yang terletak di Bangundan Perak Darul Ridzuan di sini bermula 10 pagi Rabu ini.

Sementara itu, polis menerima enam laporan terhadap bekas Speaker DUN, V. Sivakumar kerana enggan memulangkan jubah Speaker walaupun selepas diminta berbuat demikian oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Zulkefli berkata, pihaknya sedang menyiasat laporan itu dan akan mengambil keterangan daripada beberapa pihak.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain