Kanak-kanak mati didera ibu sendiri dan teman lelaki - Semasa | mStar

Kanak-kanak mati didera ibu sendiri dan teman lelaki

KAJANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati akibat cedera parah di seluruh badan termasuk bahagian kemaluannya dipercayai didera oleh ibunya sendiri dengan teman lelakinya, warga Sudan.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Sakaruddin Che Mood berkata kejadian itu berlaku di Kondominium Reniville, Taman Puteri Batu 9, Cheras di sini.

Difahamkan pada 13 Okt lepas, wanita berusia 24 tahun itu yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat swasta di ibu negara telah menghantar anaknya yang sudah lemah dan tidak sedarkan diri ke hospital dan mendakwa menemui kanak-kanak itu dalam keadaan lebam seluruh badan sebaik pulang dari bekerja.

Sakaruddin berkata bedah siasat terhadap kanak-kanak tersebut mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada organ dalamannya.

Dipercayai wanita terbabit kemudiannya membuat laporan polis mendakwa anaknya mati akibat didera pembantu rumah ketika beliau keluar bekerja.

Beliau berkata polis mengesan suspek berkelakuan mencurigakan dan siasatan mendapati suspek tidak pernah dan tidak mempunyai pembantu rumah.

"Wanita berkenaan memberi keterangan palsu kepada pihak kami mengenai kejadian kematian anaknya dan siasatan mendapati dia sebenarnya tinggal bersama teman lelakinya itu, juga berusia 24 tahun dan seorang penuntut di sebuah kolej swasta di sini," katanya ketika dihubungi di sini malam semalam.

Kedua-dua suspek terbabit ditahan polis dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain