suria

Dakwa SPRM guna kekerasan bertujuan raih simpati - Nazri

KUALA LUMPUR: Tindakan orang yang disiasat membuat laporan polis mendakwa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan kekerasan mungkin untuk meraih simpati serta memberi gambaran yang suruhanjaya itu adalah agensi penguatkuasa yang kejam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kebelakangan ini terdapat trend apabila seseorang yang ditangkap atau disiasat oleh SPRM membuat laporan polis mendakwa mereka didera atau dipaksa membuat pengakuan kepada SPRM selepas dibebaskan atau sudah memberi keterangan.

"Tindakan mereka ini juga dibuat sematamata untuk mengelakkan pengakuan mereka dijadikan sebagai keterangan di mahkamah kelak," katanya dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Teresa mahu menteri menyatakan bilangan aduan dan laporan polis berkenaan dengan keganasan yang dilakukan oleh pegawai siasatan SPRM yang dibuat oleh orang yang disiasat dalam tempoh lima tahun lepas dan langkahlangkah yang diambil untuk mengatasi masalah itu.

Mohamed Nazri berkata, dari 2005 hingga 30 September lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka sejumlah 58 kertas siasatan di seluruh negara melibatkan dakwaan penggunaan kekerasan oleh pegawaipegawai berkenaan ke atas orang yang disiasat.

Bagaimanapun, setakat ini tiada rekod menunjukkan terdapat pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah didakwa di mahkamah atau dikenakan tindakan tatatertib berikutan siasatan yang dijalankan.

Mohamed Nazri berkata bagi mengatasi dakwaandakwaan sedemikian berlanjutan, SPRM katanya telah mengambil beberapa langkah termasuk mewujudkan bilik temuduga dan rakaman penyataan yang khusus dilengkapi dengan keperluan logistik seperti kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV) dan kemudahan komputer bagi proses rakaman percakapan di setiap pejabat SPRM.

SPRM juga mengadakan kursus dan latihan yang komprehensif bagi membentuk kemahiran dan pengalaman pegawai SPRM dalam pengendalian teknik temuduga di mana pengalaman tersebut membolehkan pegawai mendapatkan kerjasama, kebenaran dan pengakuan daripada saksi dan suspek melalui kaedah psikologi tanpa membabitkan sebarang unsur kekerasan atau penderaan.

Suruhanjaya itu juga mewujudkan garis panduan seperti Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya berhubung pelaksanaan teknik temuduga atau "investigative interviewing." Dalam isu berbeza, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam jawapan bertulis kepada Teresa berkata setakat ini kerajaan tidak bercadang untuk meminda Seksyen 498 Kanun Keseksaan berhubung hukuman terhadap lelaki yang mengadakan hubungan sulit dengan wanita berkahwin.

Katanya ini kerana undangundang sedia ada adalah memadai, tambahan kes sedemikian merupakan kes terpencil di mana setakat ini hanya satu kes dilaporkan pada 2008.

Selain itu sekiranya wujud elemen lain seperti menyebabkan kecederaan dalam cubaan si penjenayah untuk memikat mangsa, maka Seksyen 323 dan 325 Kanun Keseksaan akan terpakai di mana hukuman yang lebih berat menanti pelaku sekiranya sabit kesalahan, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain