suria

Kebajikan kakitangan Bernama TV tidak terjejas - Rais Yatim

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kepentingan dan kebajikan kakitangan Bernama TV tidak akan terjejas walaupun stesen penyiaran itu mengalami masalah kewangan.

Beliau berkata pada masa ini sebahagian kakitangan Bernama TV termasuk wartawan dan jurukamera ditempatkan untuk bertugas di Radio Televisyen Malaysia (RTM) buat sementara waktu.

"Kakitangan Bernama TV akan kembali bertugas dalam syarikat yang sama (Bernama TV) dengan semua syarat tidak terjejas dan tiada kehilangan apa-apa. RTM hanya membantu sementara mereka dapat ditempatkan semula dalam pekerjaan dan profesion masing-masing," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan asal daripada Datuk Halimah Mohd Sadique (BN-Tenggara) mengenai kedudukan Bernama TV daripada segi peranan medianya dan tanggungan hutangnya yang besar sehingga menjejaskan operasi harian stesen itu, Rais berkata Bernama TV kini telah mendapatkan rakan kongsi yang baru dan akan menjelaskan hutangpiutangnya.

"Rakan kongsi ini sedang melakukan pemeriksaan audit due diligence (mengikut peraturan ditetapkan). Operasi siaran Bernama TV akan berterusan dan tidak akan terganggu," katanya.

Bernama TV merupakan sebuah syarikat swasta di mana Bernama Berhad hanya mempunyai saham sebanyak 33 peratus sahaja, kata Rais.

"Sehingga 9 Okt ini, hutang Bernama TV adalah sejumlah RM16,845,403. Hutang tersebut wujud daripada (kos) penyewaan ruang pejabat, peralatan dan perjanjian penyumberan luar sumber manusia dengan syarikat Bernama Berhad," katanya.BERNAMA

Artikel Lain