suria

Pelajar tingkatan lima, remaja lelaki didakwa pukul pelajar sehingga koma

SHAH ALAM: Seorang pelajar tingkatan lima dan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memukul dua pelajar tingkatan empat menyebabkan seorang daripada mereka koma, di hadapan sebuah kafe siber di Rawang dekat sini, awal bulan ini.

S.Kanageswaran@Kanages, 18, yang berasal dari Jalan Garing Jaya, Rawang, dan remaja lelaki itu yang berasal dari Taman Garing Utama, Rawang, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mereka didakwa mencederakan Mohd Khairul Nizam Muhammad, 16, dan Muhammed Ilyas Mazlan, 16, dengan menggunakan topi keledar di hadapan Cyber Cafe Matrix, Pusat Bandar Baru Rawang, Rawang, kira-kira pukul 6.15 petang pada 3 Okt lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Ismail membantah jaminan diberikan kepada Kanageswaran dan remaja lelaki itu dengan alasan kesalahan yang dilakukan serius kerana menyebabkan kedua-dua mangsa cedera parah dan seorang daripada mereka masih koma sehingga hari ini.

"Sekiranya mahkamah cenderung untuk memberi jaminan, pohon jumlah yang tinggi dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat," katanya.

Peguam K.Theivaendran yang mewakili Kanageswaran dan remaja lelaki itu pula memohon mahkamah membenarkan ikat jamin dengan alasan kedua-dua anak guamnya tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas kedua-dua kejadian itu memandangkan ia turut melibatkan empat lelaki lain.

"Yang ditangkap cuma tiga orang tetapi hanya dua didakwa hari ini. Saya juga dimaklumkan bahawa topi keledar berkenaan bukan milik keduadua anak guam saya dan menurut mereka juga kejadian itu dilakukan oleh orang lain," katanya.

Setelah mendengar hujahan keduadua pihak, Hakim Wan Mohd Norisham kemudian membenarkan Kanageswaran dan remaja lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka melapor diri di balai polis terdekat pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes itu selesai.

Mahkamah menetapkan 17 Nov depan untuk sebutan semula kes. BERNAMA

Artikel Lain