suria

Jangan menaruh syak terhadap 1Malaysia, kata Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak meminta mana-mana pihak jangan berasa gundah gulana atau menaruh syak serta bimbang mengenai gagasan 1Malaysia, kerana ia tidak terpesong daripada apa yang dipersetujui dan dimuafakatkan oleh generasi terdahulu.

Presiden Umno itu berkata sesungguhnya matlamat akhir konsep berkenaan adalah untuk meraikan kemajmukan dan kepelbagaian rakyat di Malaysia sebagai senjata dan kekuatan demi kemajuan bersama.

"Kerana itulah pentadbiran kerajaan telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia. Sesungguhnya, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru.

"Sebaliknya matlamat akhir 1Malaysia iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin Umno terdahulu yang diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk jelmaan prakarsa (rangka kerja strategik) sepanjang lebih lima dekad," katanya dalam ucapan dasar sulungnya sebagai Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perdana Menteri juga berkata sejak mula para patriot memperjuangkan kemerdekaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional telah, sedang dan tetap menjadi keutamaan.

Ini kerana, beliau berkata semua pihak sedar bahawa tanpa perpaduan yang mantap dan jitu, tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional akan dapat diterjemahkan.

Katanya gagasan 1Malaysia ditiangi oleh beberapa teras utama, antaranya penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilainilai dikongsi bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran perlembagaan serta prinsip rukun negara.

"Wajarlah saya pertegaskan di sini bahawa konsep 1Malaysia tidak sekalikali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau tersirat.

"Malah, kita kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, Perkara 4, Perkara 152, Perkara 153, Bahagian 2 dan 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain