suria

MIC tugaskan pemimpin kota janji di Bagan Pinang

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya meraih sokongan 70 peratus pengundi masyarakat India pada pilihan raya kecil Bagan Pinang pada Ahad lepas, MIC kini memberi tumpuan ke arah memenuhi semua janjinya kepada mereka, kata presiden parti Datuk Seri s.Samy Vellu.

"Sudah tiba pula masa kita kotakan segala janji supaya kita (Barisan Nasional) terus mendapat kepercayaan masyarakat India," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam beliau mengadakan satu mesyuarat bagi memberi tugas tertentu kepada beberapa pemimpin MIC untuk membantu penduduk India di Bagan Pinang mengatasi masalah mereka.

"Jika tidak, kita akan dituduh tidak melakukan apa-apa setelah mendapatkan undi mereka," katanya.

Naib Presiden MIC Datuk Dr S.Subramaniam pula berkata bahawa selain kerja keras oleh pemimpin dan anggota MIC, pengundi India di Bagan Pinang juga tertarik dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita akan meningkatkan usaha untuk menawan kembali pengundi India seperti yang kita lakukan di Bagan Pinang," katanya.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon BN Tan Sri Isa Samad menewaskan Zulkefly Mohamad Omar daripada Pas dengan majoriti 5,435 undi. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain