suria

Joki didenda kerana minta bayaran di tempat letak kereta haram

KUALA LUMPUR: Sembilan lelaki didenda antara RM200 dan RM500 atau penjara oleh dua Mahkamah Majistret Trafik berasingan di sini kerana meminta pemilik kenderaan membayar wang di tempat letak kereta haram di beberapa kawasan di ibu negara.

Majistret Zura Syazween Hamzah menjatuhkan hukuman terhadap K.Saravanan, 32, Aizamshah Mohd Ibrahim, 27, Low Kuan Hee, 41, dan Tengku Rohsli Tengku Abdul Hamid, 44, setelah mereka mengaku bersalah melakukan perbuatan di Lorong P. Ramlee, di belakang Jalan Sultan Ismail, Jalan Changkat Thambi Dollah dan Jalan Berangan, Kuala Lumpur antara 11.30 malam 4 Oktober 2009 dan 11.15 malam 11 Okt 2009.

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa Cif Insp Azaz Hashim manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Nik Haslinie Hashim pula menjatuhkan hukuman denda RM200 terhadap R. Manikam, 60 dan Ho Wai Yuen, 49, serta denda RM300 terhadap Syahul Hamid Hamid Sultan, 31, Abdul Rahman Said, 42, dan S. Thamaraj, 21, kerana kesalahan yang serupa di Jalan Pangsung, Jalan Changkat Thambi Dollah, Jalan Dang Wangi, Jalan Bulan dan Jalan Law Yew Swee, off Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur, antara 6.30 petang 10 Okt dan 11.35 malam tadi.

Pendakwaan dilakukan oleh Cif Isp Abdullah Said. BERNAMA

Artikel Lain