suria

Isu Kartika: Pemuda, Wanita Umno JB buat laporan terhadap JAG

JOHOR BAHARU: Pergerakan Pemuda dan Wanita Umno Bahagian Johor Baharu hari ini membuat laporan polis menuntut supaya pertubuhan yang bernaung di bawah Kumpulan Tindakan Bersama Untuk Persamaan Jantina (JAG) disiasat mengikut Akta Hasutan kerana mencampuri kes hukuman sebat terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Sukarno.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Johor Baharu Khalid Mohamed dan Ketua Wanita Salmah Saffar membuat laporan itu di Balai Polis Sentral di sini pada 1.40 tengah hari tadi.

Salmah berkata laporan polis dibuat kerana tuntutan JAG untuk mendapatkan perintah penggantungan, pindaan atau pembatalan terhadap pelaksanaan hukuman sebat terhadap Kartika Sari Dewi oleh Mahkamah Syariah adalah berbahaya dan mencabar kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.

"Tuntutan JAG juga tidak menghormati kedudukan Yang diPertuan Agong dan RajaRaja Melayu sebagai ketua agama Islam di negara ini selain boleh menimbulkan ledakan emosi penganut Islam seterusnya mencetuskan konflik keagamaan yang dikhuatiri akan menggugat suasana keharmonian masyarakat di negara ini," katanya selepas membuat laporan berkenaan.

Salmah berkata JAG tidak mempunyai hak untuk mempertikaikan keputusan penerimaan Kartika Sari Dewi dan keluarganya terhadap hukuman yang diputuskan memandangkan wanita itu sendiri reda untuk menjalani hukuman berkenaan.

Khalid pula berkata pihaknya memandang serius tindakan JAG itu dan mengharapkan siasatan dapat dibuat segera kepada pihak berkenaan.

Kartika Sari Dewi, 32, dihukum denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah diKuantan pada 20 Julai lepas selepas mengaku salah minum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang, pada 11 Julai 2008. Hukuman sebat itu kemudian ditangguhkan barubaru ini bagi menghormati bulan Ramadan. JAG barubaru ini menyifatkan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi sebagai kejam, mencabuli hak manusia antarabangsa dan menjatuhkan maruah seseorang dan menuntut kerajaan memansuhkan Undang-undang Jenayah Syariah yang berkuatkuasa di negeri-negeri. BERNAMA

Artikel Lain