suria

Calon tempatan beri peluang BN menang

PUTRAJAYA: Faktor calon tempatan bakal memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, 11 Oktober depan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata BN bukan sahaja berpeluang menang tetapi mampu memperolehi majoriti yang banyak.

"Semasa lawatan saya ke sana (Bagan Pinang) jelas menunjukkan penduduk di kawasan itu menyenangi calon BN," katanya kepada pemberita pada jamuan sempena Aidilfitri di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya BN terpaksa memilih Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata tidak wujud isu sama ada BN terdesak atau tidak memilih Isa, apa yang penting calon berkenaan disukai ramai dan perlu di beri peluang.

Mengenai dakwaan pembangkang, Isa bukan dilahirkan di sana sebaliknya hanya dibesarkan di Bagan Pinang, Ismail Sabri berkata itu lagi bagus kerana calon akan lebih memahami keadaan dan keperluan penduduk di kawasan berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain