suria

Jadual Penerbangan Khas Misi Membawa Pulang Pelajar Malaysia di Padang bertukar

PETALING JAYA: Sebuah daripada tiga buah Pesawat TUDM yang dalam misi khas untuk membawa pulang 300 pelajar Malaysia yang menjadi mangsa gempa bumi di Sumatera Barat telah pun berlepas dari Pangkalan TUDM Subang pada lebih kurang jam 9 malam Khamis.

Bagaimanapun pesawat itu hanya membawa bekalan bantuan daripada Kerajaan Malaysia kepada mangsa-mangsa gempa bumi tersebut.

Sebaliknya pesawat kedua yang pada mulanya dijadulakan berlepas kira-kira jam 9.10 malam masih belum mendapat isyarat lampu hijau daripada pihak berkuasa Lapangan Terbang Minangkabau, Padang untuk berlepas kerana masalah trafik di lapangan terbang tersebut.

Pada saat berita ini ditulis pada jam 11 malam, pesawat kedua TUDM itu hanya dimaklumkan oleh menara kawalan di Pangkalan TUDM Subang bahawa mereka hanya berkemungkinan akan dapat berlepas paling awal pada kira-kira jam 12.45 malam.

Sementara pesawat ketiga TUDM yang juga sedang dalam keadaan bersedia di landasan Pangkalan TUDM Subang masih belum mendapat sebarang makluman daripada pihak berkuasa Padang jam berapa mereka dapat berlepas.

Mengikut jadual awal, pesawat ketiga TUDM sepatutnya berlepas pada jam 9.40 malam.

Adalah difahamkan, pesawat pengangkut tentera itu akan mengambil masa selama dua jam untuk tiba di Lapangan Terbang Minangkabau, Padang.

TUDM menggunakan pesawat pengangkut C130H buatan Amerika untuk misi "menyelamat" ini.

Artikel Berikut

Bekas Senator meninggal dunia

Artikel Lain