MIC mula 'berlembut' dalam kes disiplin terhadap Subra? - Semasa | mStar

MIC mula 'berlembut' dalam kes disiplin terhadap Subra?

KUALA LUMPUR: Dalam perkembangan terbaru, MIC kelihatan mula mengambil pendirian 'berlembut' berhubung soal mengenakan tindakan disiplin terhadap ahli-ahlinya termasuk ke atas bekas Timbalan Presidennya, Datuk S. Subramaniam.

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang bermesyuarat buat kali pertama hari ini, susulan pemilihan parti 12 September lalu, tidak membincangkan soal tindakan disiplin yang pernah disebutkan oleh Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu ke atas Subramaniam dua minggu lalu.

"Kami belum memutuskan apa-apa tentang itu... kami biarkan perkara itu seperti sedia ada, kita tunggu masa yang sesuai," kata Samy Vellu kepada pemberita selepas mesyuarat kira-kira dua jam hari ini.

Ketika ditemui sehari selepas pemilihan 12 September lalu, Samy Vellu menegaskan bahawa MIC tetap akan mengambil tindakan disiplin ke atas Subramaniam, yang telah tewas pemilihan jawatan itu buat kali kedua.

Menurut Samy Vellu, Subramaniam bakal berhadapan dengan tindakan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin kerana membawa kumpulan penyokong - dianggarkan 500 orang - yang disifatkan sebagai "samseng" oleh Samy Vellu bagi mencetuskan kekecohan ketika pemilihan yang berlangsung di PWTC.

CWC yang bermesyuarat sebelum pemilihan itu telah memutuskan untuk merujuk Subramaniam kepada Jawatankuasa Disiplin berhubung kenyataannya mengulas laporan dakwaan penipuan undi pada pemilihan 1977.

Bekas Naib Presiden MIC, Datuk V. Govindaraj mendakwa, beliau telah membawa 30 undi ke bilik pengiraan undi, yang akhirnya membantu kemenangan Samy Vellu.

Pun begitu jelas Samy Vellu, CWC mengekalkan keputusan yang diputuskan dua minggu lalu supaya tindakan mahkamah diambil terhadap Govindraj atas alasan telah memburukkan nama dan imej MIC melalui kenyataan-kenyataan medianya.

Hari ini Samy Vellu turut mengumumkan pelantikan bekas Naib Presiden, Tan Sri K. S. Nijhar sebagai pengerusi baru Jawatankuasa Disiplin.

Nijhar yang meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden MIC ekoran perselisihan faham dengan Samy Vellu tahun lalu pernah mengepalai Jawatankuasa Disiplin pada akhir 1980-an termasuk dalam kes pemecatan bekas Naib Presiden, Tan Sri M.G. Pandithan.

Ketika ditemui mStar Online, Nijhar berkata, pihaknya perlu melihat fail sebelum menentukan sama ada terhadap kes terhadap Subramaniam ataupun sebaliknya.

Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan jika cukup maklumat, kata beliau.

"Jawatankuasa Disiplin akan melihat keputusan CWC sebelum ini... sama ada terhadap kes disiplin ataupun tidak, ia bergantung pada hasil penelitian Jawatankuasa Disiplin.

"Kemungkinan ada kes, kemungkinan tidak akan ada kes," kata beliau.

Jawatankuasa Disiplin akan bertemu dalam tempoh tiga hari lagi, jelas Nijhar.

Terdahulu Samy Vellu berkata, beliau telah memberikan amaran keras terhadap dua anggota CWC yang berucap pada satu pertemuan di Klang malam kelmarin - yang membincangkan sama ada MIC masih relevan ataupun sebaliknya selain tentang hala tuju politik masyarakat India.

"Saya ada bertanya kepada kedua-dua anggota CWC berkenaan dan mereka mengakui ada menghadiri pertemuan itu.

"Saya memaafkan mereka kali ini tetapi akan mengambil tindakan terus jika mereka mengulangi perkara yang sama," katanya.

Kedua-dua anggota CWC iaitu ialah K.P. Samy dan S.P. Manivasagam yang memenangi kerusi CWC walaupun bertanding sebagai calon bukan Pasukan Presiden.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa MIC tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak mahupun ahli yang cuba menjejaskan perpaduan dalam parti dan menggugat kestabilan parti.

"Kita akan bertindak tegas terhadap mana-mana ahli yang berbuat demikian tanpa mengira status mereka," katanya.

Pertemuan di Klang itu turut mengadakan kajian ringkas empat soalan untuk mendapatkan pandangan sama ada MIC masih relevan ataupun tidak.

Subramaniam pada awalnya disebut-sebut akan menghadiri pertemuan tersebut lalu mengumumkan pendirian tentang masa depannya dalam bidang politik.

"Ini adalah satu perkara yang amat serius kerana mereka telah melibatkan diri dalam satu usaha untuk menghancurkan nama baik MIC dan memberi gambaran kepada orang ramai bahawa MIC adalah tidak relevan," katanya.

Mengenai aduan pelanggaran peraturan pemilihan 12 September lalu, Samy Vellu memberitahu, mereka telah diberi peluang untuk mengemukakan aduan mereka dalam tempoh seminggu selepas pemilihan.

"Mereka telah menyaksikan sendiri proses pemilihan dan telah menandatangani surat akuan penerimaan keputusan pemilihan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Aduan Pelanggaran Peraturan Pemilihan MIC 2009, P. Subramaniam menulis surat kepada Setiausaha Agung MIC mendakwa CWC yang bermesyuarat hari ini adalah tidak sah.

Artikel Berikut

Nik Aziz jemput Mahathir lawat Kelantan

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Artikel Lain