suria

Kerajaan cari jalan kurangkan perbelanjaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mencari jalan untuk mengurangkan perbelanjaannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Meskipun mungkin terdapat sedikit pengurangan dari segi perbelanjaan operasi, ia tidak akan menjejaskan kecekapan kerajaan, kata beliau pada sidang akhbar selepas diberi taklimat oleh Lembaga Pengarah Bank Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan ketika ini membelanjakan tambahan RM1 bilion sebulan, melebihi kebiasaannya, berikutan langkah-langkah suntikan modal yang diperkenalkan.

Beliau juga berkata kerajaan komited kepada perbelanjaan ini sehingga akhir 2010. "Selepas 2010, kami berharap persekitaran ekonomi luar akan bertambah baik, dengan momentum dalam dan luar negara yang mencukupi bagi memastikan Malaysia berada di landasan yang lebih positif dari segi pertumbuhan ekonomi," kata Najib.

Menurut Najib, perbelanjaan kerajaan perlu lebih berhemat dari segi nilai untuk wang, yang juga termasuk pemerolehan.

Beliau berkata di masa depan, subsidi yang lebih disasarkan, perlu diberikan kepada rakyat yang memerlukannya.

"Kami menyedari akan keperluan untuk mengurangkan defisit fiskal," katanya.

Kerajaan mengunjurkan bahawa bajet defisit mencecah 7.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (kdnk) tahun ini. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain