suria

Najib terang pada Samy kenapa beliau akan hadir ke majlis pelancaran Makkal Sakthi

PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak petang Isnin telah mengadakan pertemuan ringkas dengan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu di pejabatnya di sini dan telah menjelaskan pendiriannya kenapa beliau bersetuju melancarkan Parti Makkal Sakthi Malaysia yang dijadualkan pada 10 Oktober ini.

Sumber-sumber memberitahu mStar Online, Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau mengambil keputusan untuk menghadiri pelancaran Parti Makkal Sakthi Malaysia kerana langkah itu perlu untuk mendapatkan sokongan buat BN, bukannya membelakangi MIC.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Najib ketika ditanya mengenai usaha BN mendampingi parti-parti diterajui pemimpin yang telah terpisah daripada MIC, beliau berkata, apa yang penting ialah mereka (pemimpin ini) menyokong kerajaan.

"Masyarakat India akan melalui proses menentukan perwakilan politik... saya melihat ini sebagai tempoh peralihan. Sama ada mereka berada dalam BN atau di luar, yang penting mereka menyokong BN," kata Najib dengan Samy Vellu dan tiga Naib Presiden MIC berada di sisinya.

Sama ada parti-parti itu akan dibawa masuk ke pangkuan BN, Najib yang juga Presiden Umno memberitahu, ia terserah kepada Dewan Tertinggi BN untuk menentukannya.

Pertemuan itu berlangsung kira-kira 10 minit selepas berakhirnya mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Masyarakat India.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah tiga Naib Presiden iaitu Datuk Dr. S. Subramaniam, Datuk S.K. Devamany dan Datuk M. Saravanan - masing-masing merupakan Menteri Sumber Manusia, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel tidak terlibat dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Masyarakat India.

mStar Online difahamkan, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) telah mengingatkan pucuk pimpinan parti itu agar berusaha keras untuk mendapatkan semula sokongan masyarakat India khususnya selepas berakhirnya pemilihan MIC pada 12 September lalu.

Bagaimanapun, pertemuan hari ini tidak menyentuh soal pelan peralihan kuasa membabitkan Samy Vellu, kata Sumber itu.

"Soal peralihan kuasa tidak disentuh. Perdana Menteri hanya meminta agar MIC bekerja keras untuk mendapatkan sokongan masyarakat India, lebih-lebih lagi bagi menjamin kemenangan BN dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang bulan depan," katanya.

Pada 20 September lalu, Najib telah dipetik sebagai berkata, beliau akan mengadakan pertemuan susulan dengan Samy Vellu bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelan peralihan kuasa MIC.

Beberapa hari sebelum itu, Samy memberitahu bahawa beliau sudah memaklumkan mengenai tarikh pelan peralihan kuasa kepada Najib iaitu pada Jun lalu.

Artikel Lain