suria

Mayat lelaki dengan kesan kelar ditangan ditemui

PULAU PINANG: Seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan kelar di tangan kiri di kaki lima sebuah kelab malam di Lebuh Nanning, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Gan Kong Meng berkata mayat lelaki yang hanya dikenali sebagai Mani, 30an, itu ditemui seorang peniaga kedai minuman berhampiran kawasan berkenaan pada kirakira pukul 1.10 petang.

"Mayat mangsa yang lengkap berpakaian ditemui berlumuran darah dan dia dipercayai mati sejak lapan jam lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati tangan kiri lelaki itu dikelar menggunakan senjata tajam. Bagaimanapun tiada senjata ditemui di tempat kejadian.

Gan berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain