suria

Sidang Parlimen hangat dengan pelbagai isu, kata Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat, yang akan bersidang semula pada 19 Okt sehingga 15 Dis ini,dijangka hangat dengan pelbagai isu kontroversi dalam negara pada masa ini, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya sebagaimana lazim, pelbagai isu termasuk isuisu politik dibangkitkan oleh para Anggota Parlimen semasa persidangan.

"Dan ini (persidangan) akan jadi lebih menarik lagi selepas ini, kerana terdapat banyak perkara kontroversi seperti PKFZ (Zon Bebas Pelabuhan Klang), hal kerajaan negeri Perak, pilihan raya kecil serta pindaan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang mungkin menjadi perbincangan," katanya kepada pemberita di Parlimen di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Timbalan Yang Dipertua House of Commons United Kingdom Sir Alan Hasselhurst yang diiringi Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Boyd McCleary.

Mengenai saman yang difailkan anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, terhadap Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Wan Junaidi berkata itu adalah hak Gobind untuk berbuat demikian.

"Tetapi akhirnya mahkamah itu sendiri akan membuat keputusan sama ada keputusan yang dibuat Tan Sri Pandikar dalam dewan itu boleh dibincangkan dalam mahkamah kerana Perlembagaan telah menentukan bahawa Parlimen berkuasa untuk menguruskan peraturan dalaman mereka sendiri," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umat Islam sambut Aidilfitri Ahad

Artikel Berikut

Artikel Lain