suria

Tiga lelaki ditangkap menyamar sebagai polis

JOHOR BAHARU: Tiga lelaki berumur antara 25 hingga 45 tahun ditangkap di Seri Alam semalam kerana menyamar sebagai pegawai polis.

Mereka yang mempunyai rekod jenayah sebelum ini dipercayai mengugut dan merompak orang awam yang sedang membuat persiapan Hari Raya yang akan disambut tidak lama lagi.

Jenayah mereka terbongkar berikutan penangkapan seorang daripada lelaki itu yang berkelakuan mencurigakan di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah pub di Taman Rinting, Masai pada kira-kira pukul 12.05 tengah malam kelmarin.

Semasa memeriksa, anggota polis yang diketuai seorang Cif Insp menjumpai dompet mengandungi kad nama berserta dengan maklumat "Polis Diraja Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan cetakan logo polis.

"Siasatan kami ke atas lelaki itu membawa kepada dua tangkapan di Taman Rinting, Masai dan Taman Desa in Ulu Tiram," kata Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainuddin.

Polis juga menjumpai kad detektif palsu dengan pangkat SubInsp; satu kad detektif dengan pangkat Sub Insp dari Bahagian D9 Polis Johor, logo plastik polis, logo logam polis dan wang tunai RM268 termasuk mata wang Kanada bernilai lima dolar.

Polis turut merampas dua buah kenderaan daripada mereka.

Roslan berkata mereka ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya kerana menyamar sebagai petugas awam.

Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak kurang daripada RM500 kerana memiliki barangan berkaitan polis. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain