suria

Lelaki miliki empat pistol mainan ditahan

PULAU PINANG: Polis menahan seorang lelaki dan merampas empat pistol mainan yang dipercayai digunakannya dalam kegiatan samun dan rompakan di sekitar negeri ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC II Wan Abdullah Tuanku Said.

Beliau berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Penang di sini kirakira 5.30 petang semalam.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis menyerbu sebuah bilik di hotel berkenaan. Bagaimanapun usaha untuk masuk ke bilik itu agar sukar kerana lelaki terbabit telah meletakkan penghalang iaitu meja di belakang pintu bilik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis terpaksa memecahkan pintu dan sebaik berjaya masuk, kelihatan lelaki berkenaan telah terjun dari tingkat dua biliknya untuk melarikan diri.

"Bagaimanapun, usaha lelaki yang berasal dari Pulau Pinang itu gagal kerana anggota kita telah bersiap sedia di bahagian bawah bagi menghadapi segala kemungkinan," katanya.

Wan Abdullah berkata hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui empat pucuk pistol mainan dan beberapa keping kad kredit milik individu lain serta buku bank.

"Kita sedang menyiasat kegiatan lelaki berkenaan dan tidak menolak kemungkinan dia mempunyai kaitan dengan kes samun dan rompakan," katanya.

Katanya lelaki itu kini direman dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1990. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain