suria

Pemilik kilang nyaris maut ditembak berhampiran kilangnya

NIBONG TEBAL: Seorang pemilik kilang terselamat daripada maut apabila tembakan dilepaskan sekumpulan penjenayah hanya terkena tangan kirinya dalam satu kejadian berhampiran kilang miliknya di Jalan Kerian di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan Supt Shafien Mamat berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, Tan Chai Seng, 48, yang sedang memandu keretanya menyedari diekori tiga lelaki yang tidak dikenalinya.

"Mangsa yang menyedari ada orang mengekorinya terus bertindak memandu keretanya masuk ke kawasan kilangnya, bagaimanapun beliau gagal berbuat demikian selepas dihalang dengan kereta kereta suspek.

"Ketiga-tiga lelaki berkenaan keluar daripada kereta yang mereka naiki dan cuba menghalang mangsa daripada melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Shafien berkata salah seorang daripada lelaki berkenaan mengeluarkan pistol sebelum melepaskan tembakan ke arah mangsa yang mengenai tangan kiri Tan.

"Polis yang mendapat maklumat berhubung perkara berkenaan bergegas ke tempat kejadian dan ketika itu hanya terdapat mangsa manakala tiga lelaki berkenaan telah melarikan diri," katanya.

Shafien berkata mangsa yang cedera di tangan kiri dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke Gleanegles Medical Centre (GMC), Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Katanya Tan kini dilaporkan stabil dan polis sedang mengesan semua suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

"Polis sedang menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan dan kita minta orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit tampil memberikan maklumat," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain