suria

Samy Vellu lengkapi penggal jawatan Presiden

KUALA LUMPUR: Ketika perebutan bagi jawatan timbalan presiden MIC semakin rancak, ramai pemimpin cawangan dan bahagian khuatir parti itu akan berpecah, oleh itu menggesa Datuk Seri S.Samy Vellu melengkapkan penggalnya selaku presiden demi menentukan parti terus bersatu.

Rancangan asal ialah siapa yang dipilih sebagai timbalan presiden selepas pemilihan MIC pada 12 Sept akan mengambil alih jawatan presiden daripada Samy Vellu sebelum penggalnya berakhir pada pertengahan 2012.

Ini mengakibatkan "perebutan sengit" sebagaimana disifatkan oleh seorang ketua bahagian, bagi jawatan nombor dua antara penyandang Datuk G.Palanivel, bekas timbalan presiden Datuk S.Subramaniam dan penyandang naib presiden Datuk S.Sothinathan.

Dalam interbiu dengan TV3 malam tadi, Samy Vellu mengesahkan beliau memutuskan untuk memenuhi penggal penuhnya sebagai presiden parti.

"Saya telah memutuskan untuk memenuhi penggal perkhidmatan memandangkan saya dipilih untuk penggal tiga tahun," kata beliau.

Samy Vellu menang tanpa bertanding 22 Mac lepas setelah penentang tunggalnya, Datuk M.Muthupalaniappan tidak mendapat jumlah pencalonan yang cukup untuk mencabar pemimpin veteran itu.

Terdahulu, laporan berita membayangkan Samy Vellu akan melepaskan jawatannya antara 12 Sept dan 2012.

Sementara itu, Samy Vellu mengakui bahawa penyokong "sesetengah" calon bagi jawatan timbalan presiden 'melanggar sempadan' dengan melibatkan diri dalam politik wang dan kasta.

Beliau khuatir perbuatan seumpama itu akan merosakkan imej MIC dan akhirnya menyebabkan kemusnahannya.

Samy Vellu menyokong Palanivel bagi jawatan timbalan presiden. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain