suria

SPR: Calon BN layak bertanding

SEBERANG PRAI: Calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman telah memenuhi segala syarat, sekali gus layak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, kata Suruhanjaya PIlihan Raya (SPR).

Ketika dihubungi, Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, dari segi undang-undang tiada masalah bagi Rohaizat untuk bertanding.

"Sebab dia tiada sabit kesalahan dan tidak dihukum oleh mahkamah, tiada sabitan mahkamah. Kelayakan Rohaizat sebagai calon adalah jelas termaktub dalam undang-undang dan perlembagaan," kata beliau kepada mStar Online.

Menurut beliau, dari segi undang-undang Rohaizat boleh menjadi calon dan itulah yang menjadi keutamaan SPR iaitu samada seseorang calon itu layak bertanding dari aspek perundangan.

Kata Wan Ahmad, buat masa sekarang tiada halangan untuk beliau bertanding kerana statusnya sebagai calon sudah diisytiharkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya semalam.

"Buat masa sekarang SPR terima kelayakannya untuk bertanding, tapi pada masa akan datang tidak tahu sama ada terdapat pihak-pihak tertentu yang hendak membawa kes petisyen pilihan raya.

"Jika ada pihak hendak membawa petisyen, itu hak semua pihak untuk berbuat demikian," katanya lagi.

Pagi semalam, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar Rohaizat tarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir dengan mendakwa tidak layak menjadi calon atas prinsip moral.

Pembangkang menggunakan isu wujudnya unsur salah guna wang Koperasi Pekebun-Pekebun Kecil Getah Pulau Pinang oleh firma guaman yang diterajui oleh calon BN itu pada tahun 2000.

Isinin lalu, Rohaizat memberitahu kes itu sudah selesai apabila bayaran telah dikembalikan kepada pelanggannya.

Umno pula menjelaskan kes itu berlaku bukanlah kerana tindak-tanduk Rohaizat. Ia juga disahkan oleh wakil koperasi itu kelmarin.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini pula, Majlis Peguam berkata Lembaga Disiplinnya telah menolak rayuan Rohaizat pada 7 Mac 2008 manakala Mahkamah Rayuan pula menolak rayuannya berhubung keputusan lembaga itu pada 12 Ogos lalu untuk menarik balik lesen guaman sivil Rohaizat.

Petang semalam, Rohaizat menjawab balik dakwaan PAS yang menggesanya menarik diri daripada bertanding dengan menganggap ia sebagai "parti yang secara moral sudah mengaku sudah kalah" dan "hanya mahu menang dengan percuma."

Artikel Lain