suria

Pemuda PAS dakwa Zambry guna masjid untuk berpolitik

IPOH: Dewan Pemuda Pas Perak hari ini membuat aduan kononnya Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menggunakan masjid sebagai pentas untuk berpolitik.

Penolong setiausahanya Safarizal Salleh menyerahkan surat aduan berhubung perkara berkenaan kepada Bahagian Pentadbiran, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak(MAIAMP) di sini untuk disampaikan kepada Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah.

Dewan itu mendakwa Zambry menggunakan Masjid Ibnu Salam di Pengkalan Pegoh di sini untuk mengadakan majlis tazkirah dan ceramah pada 8 malam 17 Ogos lepas, dan ini melanggar titah Raja Muda supaya masjid dan surau tidak wajar dijadikan pentas untuk kegiatan politik.

Bagaimanapun, Safarizal berkata beliau tidak mempunyai perincian maklumat mengenai majlis itu kerana aduan yang dibuat adalah bersandarkan maklumat orang awam.

Mengenai tindakan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pas yang sering berceramah di masjid, beliau berkata setakat ini tidak ada aduan dibuat terhadap Mohammad Nizar.

'Saya akan terus hadiri program di masjid' - Zambry

Semtnara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata beliau tetap akan terus menghadiri pelbagai program yang dianjurkan oleh mana-mana masjid di Perak walaupun perkara itu cuba dipolitikkan oleh pembangkang.

Beliau berkata sebagai Menteri Besar yang turut memegang portfolio agama Islam, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk melawat bagi meninjau dan mengetahui permasalahan yang dihadapi di masjid-masjid seluruh negeri.

"Takkanlah saya langsung tidak boleh melawat, tidak boleh solat di masjidmasjid. Sebagai Menteri Besar, menjadi tanggungjawab saya juga untuk melihat keadaan masjidmasjid di Perak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Negeri di sini hari ini.

Dewan Pemuda Pas Perak hari ini menyerahkan surat aduan kepada Bahagian Pentadbiran, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dengan mendakwa kononnya Zambry menggunakan Masjid Ibnu Salam di Pengkalan Pegoh untuk mengadakan majlis tazkirah dan ceramah pada 17 Ogos lepas, dan ini melanggar titah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah supaya masjid dan surau tidak wajar dijadikan pentas untuk kegiatan politik.

Zambry berkata beliau tidak pernah menggunakan lawatan beliau ke masjid sebagai platform politik seperti yang didakwa itu.

"Cuba tanya jemaah yang hadir. Saya tidak seperti mereka (pembangkang) yang menggunakan masjid dan surau untuk memaki hamun dan melemparkan fitnah," katanya. BERNAMA

Artikel Lain