suria

Permatang Pasir: BN, Pakatan umum calon selang 6 jam hari ini

GEORGETOWN: Barisan Nasional (BN) dan PAS akan mengumumkan calon masing-masing, yang bakal diturunkan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, dalam tempoh selang enam jam hari ini.

BN yang akan diwakili Umno dijadual menamakan calonnya kira-kira 4 petang ini.

Ia disusuli langkah PAS, komponen Pakatan Rakyat, enam jam kemudian.

PAS dijangka mengumumkan calonnya sekitar 10 malam di Permatang Pasir sendiri.

Pengumuman calon BN, kemungkinan besar Ketua Pemuda Umno Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd Said, akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Tiga nama lain yang turut disebut-sebut ialah Timbalan Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Mohamad Nasir Abdullah; Naib Ketua bahagian, Abdul Rahim Man dan Setiausahanya, Rohaizad Othman.

Muhyiddin akan mengumumkan calon Umno-BN di pusat gerakannya di Jalan Permatang Ara, Permatang Pasir, Permatang Pauh dekat sini.

Ini merupakan pilihan raya kecil yang kelapan sejak Mac 2008.

Tarikh penamaan calon adalah pada Isnin ini dan jika ada pertandingan pengundian dijalankan pada 25 Ogos.

Calon PAS-Pakatan pula akan diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kemungkinan besar PAS dijangka bakal diwakili oleh pegawai khas Datuk Hamdan Abdul Rahman, Shamsul Kamal Shafiee.

Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian Hamdan dari PAS hujung bulan lalu.

Nama Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Salleh Man merupakan antara empat nama yang disenaraipendekkan, tetapi sumber memberitahu beliau kemungkinan akan menolak tawaran bertanding.

Artikel Lain