suria

Umat Islam dinasihat tangani masalah maklumat berlebihan

KUALA LUMPUR: Umat Islam dinasihatkan agar menangani ledakan dan lambakan maklumat yang diterima agar tidak berdepan dengan masalah maklumat berlebihan yang akhirnya akan menggagalkan usaha mencari kefahaman yang tulen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Mejar Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Katanya ilmu pengetahuan akan terus berkembang dan bercambah manakala maklumat kian bertambah serta semakin rencam menyebabkan manusia terpaksa berdepan dengan muatan maklumat yang berlebihan.

Dalam ucapannya semasa merasmikan persidangan antarabangsa "Umat Islam dan Ruang Ilmu Abad ke-21: Isu, Prospek dan Cabaran" di sini malam ini, beliau berkata bagi menangani isu itu umat Islam perlu memberi tumpuan kepada ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah kerana ia mampu memberi jalan keluar kepada dilema ledakan maklumat yang dihadapi umat Islam dewasa ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

"Banyak yang boleh dipelajari dan dimanfaatkan daripada formula fardhu ain dan fardhu kifayah ini untuk berdepan dengan segala maklumat dan tuntutan pada abad ke21 ini. Malah formula ini perlu disegarkan semula dalam usaha membolehkan umat Islam mengharungi pelbagai cabaran pada abad mendatang," katanya. BERNAMA

Artikel Lain