suria

Cari kaedah perkasakan Umno pada mesyuarat perwakilan bahagian, kata Muhyiddin

POKOK SENA: Mesyuarat perwakilan Umno bahagian yang sedang berlangsung haruslah berbincang dan mencari kaedah untuk memperkasakan parti dengan mengembalikan semula keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada Umno.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesyuarat perwakilan Umno bahagian, bukan sekadar memenuhi syarat dalam perlembagaan parti malah ia harus dimanfaatkan sebagai satu persidangan untuk anggota dan pemimpin parti menilai dan muhasabah diri dan parti.

"Kita tidak ada masa yang banyak, mulai sekarang kita kena bertindak dan atur strategi dan yang penting kita duduk samasama berbincang dan cari punca kenapa kita kalah dan bangkit semula dan tebus kekalahan kita.

"Kita kena nilai atau cermin muka (kenapa kalah dalam pilihan raya)...cara dan budaya politik kita kena berubah " katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pokok Sena di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata rakyat telah memberi persepsi yang berbeza terhadap Umno dan anggapan itu termasuklah melihat Umno sebagai parti yang mementingkan kaum puak sendiri sahaja.

Muhyiddin berkata, pemimpin Umno haruslah selalu mengadakan mesyuarat bagi mengenalpasti masalah rakyat yang ada di kawasan masing-masing selain dari turun padang membantu rakyat.

"Jangan hanya mesyuarat setahun sekali, ada juga yang tidak bermesyuarat langsung dan yang tidak cukup korum, kita mesti serius, jangan bagi alasan kita sibuk kerana jika sibuk macam manapun, selagi kita pegang jawatan kita tidak boleh tinggalkan rakyat kerana rakyat akan menolak kita jika Umno tidak bantu rakyat", kata beliau.

Katanya, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno juga haruslah berusaha untuk menarik pengundi muda menyokong Barisan Nasional (BN) kerana anakanak muda sekarang mempunyai pandangan mereka sendiri.

"Anak-anak muda sekarang telah bercakap soal keadilan dan ketelusan dalam alam maya (internet) dan kita haruslah berusaha menarik mereka menyokong kita," kata beliau.

Umno sekarang adalah dalam keadaan kritikal dan politik orang Melayu sekarang semakin tercabar dan disebabkan itu semua pemimpin Umno di semua peringkat haruslah membuat perubahan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain