suria

Ean Yong dan setiausaha sulitnya beri keterangan kepada polis

SHAH ALAM: Polis hari semalam mengambil keterangan daripada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini berhubung kematian setiausaha politiknya, Teoh Beng Hock.

ASP Mohd Amirul Abdullah dari Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam mengambil keterangan daripada Yong selama tiga jam mulai pukul 3.30 petang dengan ditemani peguamnya Keppy Wong.

Polis turut mengambil keterangan daripada Setiausaha Sulit Yong, Hiew Kim Boon. Keterangan beliau diambil oleh ASP Mohd Hafiz Yaakob dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang dari pukul 3.55 hingga 5.25 petang di pejabat yang sama.

Teoh, 30, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam Khamis lalu selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Yong berkata beliau telah menjawab 50 soalan dalam 11 muka surat yang ditanya oleh ASP Mohd Amirul daripada pelbagai sudut termasuk prestasi kerja, masalah kewangan dan keperibadian Teoh sebelum disoal siasat oleh SPRM, Rabu lepas.

Beliau berharap keterangan yang diberikan itu dapat membantu siasatan.

Sementara itu, Yong berkata beliau telah membatalkan semua temu janji dari pukul 3 hingga 6 petang semata-mata untuk bekerjasama dengan polis dalam siasatan.

"Sebenarnya, IO (pegawai penyiasat) tiba pada pukul 3.40 petang dan mengambil keterangan (Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah M.) Mahoran terlebih dulu sehingga hampir pukul 7 malam,"katanya mengulas kenyataan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar semalam bahawa beliau tidak bekerjasama dengan polis ketika diminta memberi keterangan semalam.

"Saya yang menunggu IO, bukan IO tunggu saya...saya telah batalkan semua temu janji saya semata-mata untuk bekerjasama dengan polis," katanya. BERNAMA

Artikel Lain