suria

Tiada rombakan exco dalam tempoh terdekat - MB Terengganu

KUALA TERENGGANU: Barisan anggota exco kerajaan Terengganu tidak akan dirombak dalam tempoh terdekat ini, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini, beliau berkata perubahan barisan exco itu tiada dalam perancangannya sekarang.

"Siapa kata (ada rombakan exco). Setakat ini tiada...orang lain cakap, saya tidak tahu," katanya ketika diminta mengulas uraura rombakan barisan exco kerajaan negeri akan dilakukan tidak lama lagi.

Ahmad berkata setakat ini, beliau berpuashati dengan barisan exco sedia ada dan mereka perlu diberi lebih ruang serta peluang untuk memberikan khidmat terbaik dalam membangunkan negeri ini.

"Tidak adil (kalau rombakan exco dibuat). Beri mereka peluang yang cukup pegang jawatan exco sehingga habis satu penggal, sebab tahun pertama seperti tahun berbulan madu dan tahun kedua baru mereka boleh membuat perancangan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain