suria

696 telah sembuh daripada jangkitan A(H1N1)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan melaporkan bahawa seramai 696 atau 86 peratus pesakit telah sembuh daripada jangkitan Influenza A(H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata seramai 31 orang atau 4 peratus pesakit pula sedang dirawat di hospital manakala 77 atau 10 peratus menerima rawatan pesakit luar di rumah.

Mengenai perkembangan semasa Selesema H1N1 di negara, beliau memaklumkan bahawa sehingga hari ini, terdapat 32 kes baru telah dilaporkan di mana 20 kes import dan 12 adalah kes jangkitan tempatan.

Beliau berkata jumlah terkumpul kes H1N1 yang disahkan sehingga hari ini, berjumlah 804 kes yang terdiri daripada 555 kes import dan 249 kes jangkitan tempatan.

"Kesemua 32 kes baru yang dilaporkan hari ini, telah menerima rawatan antiviral sebagai pesakit luar di rumah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mohd Ismail berkata dalam tempoh 24 jam lepas, tiada kejadian wabak Influenza A(H1N1) dalam komuniti dilaporkan sebagai kes rangkaian.

Katanya kes terakhir adalah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah, Melaka di mana enam kes telah disahkan dan kesemua mereka diberikan rawatan antiviral.

"Sejumlah 60 pelajar di institusi berkenaan sedang dalam pemerhatian. Keadaan wabak adalah terkawal," kata beliau.

Beliau berkata sekolah dan kelas yang diarahkan tutup sehingga esok termasuk Sekolah Rendah Sulaiman 1, Kuala Terengganu, kelas Tingkatan 4 Jaya, Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan Kelas 2 Nilam, Sekolah Kebangsaan Intan Baiduri, Gombak, Kuala Lumpur.

Merujuk kepada situasi global pula, Dr Mohd Ismail memaklumkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa sehingga pukul 8.23 pagi ini, jumlah terkumpul kes Influenza A(H1N1) yang dilaporkan ke WHO adalah sebanyak 111,769 kes dengan 550 kematian dari 143 negara.

Ia melibatkan pertambahan sebanyak 4,881 kes.

Negaranegara yang melaporkan pertambahan kes tertinggi adalah Amerika Syarikat 3,310 kes dengan 41 kematian, Kanada 651 kes dengan enam kematian, New Zealand 224 kes dan Argentina 192 kes dengan 22 kematian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain