suria

Mahkamah perintah kekalkan sampel mendiang Kugan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada hari Rabu mengeluarkan perintah sementara supaya semua dokumen dan sampel hasil bedah siasat mendiang A. Kugan, tahanan yang meninggal dunia ketika berada dalam lokap polis Januari lepas, dikekalkan dalam keadaan asal.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan ibu si mati, N. Indra, supaya dokumen dan sampel tisu, darah dan cecair yang diambil daripada badan Kugan, dikekalkan sehingga permohonan untuk membatalkan waran geledah polis didengar di mahkamah itu.

"Saya mohon kekalkan satus quo (keadaan asal) barang-barang ini. Bedah siasat yang sedang dijalankan di Jabatan Patologi, Universiti Malaya tidak dapat diselesaikan kerana barang-barang (dokumen dan sampel) telah dirampas pihak polis," kata peguam N.Surendran, bagi pihak pemohon.

Mahkamah hari ini turut menangguhkan sehingga 30 Julai permohonan pemohon untuk membatalkan waran geledah yang dilakukan polis pada 6 April lepas.

Tarikh itu ditetapkan setelah Surendran memohon penangguhan bagi membolehkan pihaknya menyediakan hujahan balas terhadap hujahan bertulis yang dikemukakan pihak pendakwaan pagi ini.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani meberitahu mahkamah pihak pendakwaan akan membuat bantahan awal terhadap permohonan pemohon (untuk membatalkan waran geledah) atas alasan bahawa mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan itu.

Alasan kedua adalah permohonan itu terhalang di sisi undang-undang kerana rampasan (dokumen dan sampel) yang dilakukan adalah dibenarkan untuk siasatan polis, kata Idham lagi.

Pada 28 Mei, Indra memfailkan notis usul supaya mahkamah membatalkan waran geledah yang dilaksanakan oleh polis di pejabat ketua Jabatan Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 6 April lepas dan mendapatkan kembali sampel dan dokumen hasil bedah siasat yang diambil oleh polis.

Bedah siasat persendirian yang dijalankan tidak dapat diselesaikan kerana dokumen dan sampel daripada si mati telah dirampas pihak polis, dakwa pemohon.

Kugan, 22, yang diberkas kerana disyaki terlibat kes curi kereta mewah, meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis pada 20 Jan lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain