suria

Manoharan perlu renung semula sejarah dan perlembagaan negara - Dr Khir

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata tuntutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan, supaya kaum bukan Melayu di negara ini diberi taraf Bumiputera adalah bercanggah dengan Pelembagaan negara.

Katanya, hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sudah termaktub dalam Perlembagaan negara.

Oleh itu, bekas Menteri Besar Selangor itu meminta Manoharan supaya mengimbas kembali sejarah dan Perlembagaan negara sebelum membuat sebarang tuntutan yang bercanggah dengan prinsip asas pembentukan negara.

Dr Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, berkata demikian kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam ketika diminta mengulas tuntutan Manoharan.

Rabu lepas, Manoharan berkata beliau tidak akan memakai songkok pada upacara rasmi kerana beliau tidak diberikan status Bumiputera dan mahukan kaum bukan Melayu menikmati taraf yang sama dan tidak dipinggirkan sebagaimana konsep 1Malaysia.

Dr Khir menafikan bahawa kaum bukan Melayu dipinggirkan kerana kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini ada memberi bantuan kepada sekolah Cina dan Tamil serta sekolah agama rakyat.

"Orang mungkin tidak sedar mengenai bantuan seperti itu kerana majlis penyampaian bantuan kepada kaum bukan Melayu tidak dihebohkan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 lagi anggota MPEN diumum

Artikel Lain