suria

Perbicaraan kes kerani kurung isteri 24 Nov

KUANTAN: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 24 Nov ini sebagai tarikh perbicaraan kes seorang kerani yang didakwa mengurung, mengugut dan mencederakan isterinya selama tiga hari di rumah mereka pada Jun lepas.

Majistret Nor Zaihan Mohamad Ali menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut semula hari ini.

Mohd Haris M. Satha, 41, didakwa mengurung isterinya, Malati Rahman, 32, di rumah mereka di No 11, Lorong Bukit Setongkol Maju 17 di sini dari pukul 11 pagi, 13 Jun sehingga 5 pagi, 15 Jun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 340 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 342 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Haris didakwa mengugut Malati di rumah mereka dengan menyatakan untuk memasukkan isterinya itu ke dalam guni dan dibuang ke dalam gaung dengan niat hendak menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kecederaan atau kematian kepadanya. Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohd Haris juga dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya di rumah yang sama pada pukul 11 pagi, 13 Jun mengikut Seksyen 323 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau keduaduanya.

Tertuduh tidak diwakili peguam sementara pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Cif Insp T. Murugesu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain