suria

Ketahui sejarah negara sebelum pilih pemimpin, kata Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR: Setiap individu harus mengetahui tentang sejarah negara terutamanya apabila melaksanakan hak mereka untuk memilih pemimpin yang akan menerajui negara, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pilihan yang tepat akan hanya dapat dibuat sekiranya masyarakat tahu perkara sebenarnya berlaku dalam negara.

"Bagi membolehkan kita membuat pilihan, kita amat bergantung kepada apa yang berlaku dalam negara tetapi jika kita tidak tahu apa yang diundi, kita cenderung untuk memilih parti yang salah dan apabila parti itu menubuhkan kerajaan, ketika itulah baru kita menyesal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum melancarkan dua buah buku bertajuk 'Sense of Proportion' dan 'Isu' yang ditulis oleh bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Adam Abdul Kadir.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menggesa lebih ramai penulis Malaysia supaya tampil dan menulis mengenai sejarah negara meskipun dalam bentuk karangan, cerita pendek atau rencana akhbar.

"Di Yayasan Kepimpinan Perdana, kami telah mengumpul ucapan serta karya dan saya harap ada pihak yang akan menubuhkan yayasan seperti ini untuk mengumpul ucapan serta karya yang ditulis oleh orang kebanyakan supaya kita dapat merujuk kepada karya ini yang dihasilkan oleh mereka yang mempunyai pengetahuan," katanya.

Sense of Proportion, yang terbitkan oleh MPH Group Publishing, adalah kompilasi 64 artikel merangkumi pelbagai topik yang meluas merangkumi ekonomi, sosioekonomi sehinggalah kepada politik dan sosiopolitik.

Sementara itu, Isu, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, merupakan kompilasi 111 artikel yang ditulis untuk ruangan mingguan bertajuk 'Ruang dan Waktu' dalam Utusan Malaysia.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri penulis Puan Sri Maniseh Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif MPH Group of Companies Datuk Ng Tieh Chuan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain