KSU: Tidak akan tolak ansur penderaan di Taman Sinar Harapan - Semasa | mStar

KSU: Tidak akan tolak ansur penderaan di Taman Sinar Harapan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat prihatin dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang salah urus dan penderaan terhadap penghuni Taman Sinar Harapan Kuala Kubu Baru (TSH KKB).

Ketua Setiausaha kementerian itu, Tan Sri Faizah Mohd Tahir dalam satu kenyataan berkata, atendan di pusat perlindungan itu bukanlah atendan perubatan kerana mereka hanya menyediakan penjagaan asas kepada penghuni seperti memandikan, memakaikan pakaian dan memberi makan.

"Mereka bukan atendan perubatan seperti yang di hospital. Bagaimanapun, mereka telah melakukan yang terbaik, melihat kepada bilangan penghuni di bawah jagaan mereka pada satu-satu masa," kata beliau yang dipetik Bernama.

Katanya mereka juga diberikan latihan kemahiran asas tentang cara menguruskan penghuni di bawah jagaan mereka dan merujuk mereka yang agresif atau memerlukan rawatan perubatan kepada jururawat atau ke hospital untuk rawatan dan pemulihan.

Faizah berkata institusi yang diasaskan pada 4 Jan 1984 itu merupakan satu daripada tujuh institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberi tempat perlindungan, penjagaan, pemulihan dan latihan bagi golongan kurang upaya.

Bagaimanapun, TSH KKB merupakan satu-satunya yang menguruskan penjagaan golongan kurang upaya mental yang teruk dan sukar dirawat berusia lebih 15 tahun.

Jumlah kakitangan yang menguruskan institusi itu adalah 114 orang, dengan 84 atendan yang menjaga penghuni, bekerja selama lapan jam dalam tiga giliran.

Bilangan penghuni di TSH KKB adalah 22O orang, dengan 180 terlantar sakit di katil manakala bakinya, 30 lelaki dan 10 perempuan, mempunyai masalah psikoss dengan kecenderungan untuk melakukan perlakuan agresif.

"Mereka koyakkan pakaian mereka dan selimut dicarik-carikkan dalam masa beberapa jam dan sering menyerang sesama sendiri dan malah kakitangan.

"Mereka diasingkan kerana tindakan agresif terhadap diri mereka sendiri dan orang lain. Hanya lima daripada mereka mempunyai pelawat manakala bakinya dibuang oleh keluarga mereka dan akan kekal di situ sepanjang hayat mereka," katanya.

Faizah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat sangat berterima kasih kepada ramai sukarelawan yang meluangkan masa lapang mereka dengan penghuni TSH KKB dan mengalua-lukan pihak lain seperti pakar perubatan dan pakar kesihatan mental yang memberi sumbangan besar kepada kualiti kehidupan penghuni Taman Sinar Harapan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula telah mengarahkan kementerian itu supaya menyediakan laporan lengkap perkara itu dengan serta merta.

Menteri itu berkata beliau mengambil serius laporan berkenaan dan akan melawat sendiri pusat penjagaan itu dan membantu untuk meningkatkan keadaan terutama bagi mereka yang sakit tua dan cacat.

The Star semalam melaporkan bahawa TSH KKb, sebuah rumah perlindungan kendalian kerajaan bagi orang kurang upaya, telah menjadi "rumah yang mengerikan" dan mendakwa kira-kira 30 lelaki daripada 200 penghuni yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak itu berada dalam keadaan bogel, dirantai dan dikurung.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Manek Urai: Hanya 2 calon serah borang

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

Artikel Lain