suria

Mayat lelaki dengan kesan tikaman ditemui terdampar di dalam sungai

KUALA LUMPUR: Lain yang dicari, lain pula yang ditemui oleh seorang penarik kereta apabila menjumpai satu mayat lelaki terdampar di dalam anak sungai di Kampung Bahagia, Bukit Lagong, Gombak dekat sini, pagi ini.

Penarik kereta itu, yang tidak mahu dikenali, berkata beliau dalam perjalanan mencari beberapa kereta untuk ditarik bersama-sama rakannya ketika ternampak lelaki dengan kesan tikaman di perut dalam anak sungai itu.

"Ketika itu saya dengan kawan dalam perjalanan ke kampung itu... setibanya di kawasan anak sungai, saya nampak seperti ada orang terdampar di situ.

"Bila saya lihat dengan dekat, rupa-rupanya mayat seorang lelaki dengan pisau yang masih di perut," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Cemas melihat mayat itu, beliau terus menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata lelaki yang ditemui kira-kira pukul 9.30 pagi itu dikenali sebagai N. Gunalan, 37.

"Siasatan mendapati mangsa ditikam sedalam enam inci di bahagian perut dengan menggunakan sebilah pisau menyebabkan mangsa mati serta merta sebelum dicampak ke tempat kejadian," katanya.

Abdul Rahim berkata mayat berpakaian lengkap, berkemeja biru dan berseluar hitam itu dipercayai mati dibunuh di tempat lain sebelum dihumban ke tempat kejadian.

Menurutnya polis turut menemui hulu pisau yang tercampak di tepi jalan dan mayat Gunalan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Bagaimanapun siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti rakan-rakan serta latar belakang mangsa yang beralamat di Jalan Nuri, Kota Damansara.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi RakanCop atau balai polis berhampiran. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain