suria

103 projek semua koridor telah dimulakan - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata sebanyak 103 projek atau 46 peratus daripada 224 projek yang disenarai untuk dilaksanakan di semua koridor, telah dimulakan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kebanyakan projek masih dalam peringkat awal pelaksanaan iaitu melibatkan kerja-kerja seperti kajian reka bentuk, penilaian impak alam sekitar (EIA), ukur tanah dan penyediaan tapak.

"Dari segi bilangan projek yang telah dimulakan mengikut koridor, Iskandar Malaysia mencatatkan pelaksanaan sebanyak 100 peratus dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) kira-kira 43 peratus," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Hee ingin tahu mengenai status koridorkoridor yang telah diumumkan bekas Perdana Menteri dan sama ada kerajaan akan terus menjalankan projekprojek tersebut.

Najib berkata bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), sebanyak 45 peratus projek telah dimulakan manakala Koridor Pembangunan Sabah (SDC) pula 28 peratus manakala Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sebanyak 100 projek.

Menurut beliau, sehingga kini, nilai pelaburan yang diperoleh melalui perjanjian kontrak di keseluruhan koridor pertumbuhan adalah sebanyak RM155.71 bilion atau 7.4 peratus lebih tinggi berbanding nilai pelaburan disasarkan dalam tempoh Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan iaitu sebanyak RM145 bilion.

Najib berkata kerajaan akan meneruskan inisiatif koridor pertumbuhan itu bagi menangani masalah ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah dan negeri.

"Pendekatan ini akan menggunakan kelebihan kekuatan sedia ada di kawasan membangun untuk dikembangkan ke kawasan berpotensi di wilayah berkaitan serta memberi tumpuan kepada pengoptimuman sumber yang ada sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata program pembangunan itu juga memastikan masyarakat tempatan mendapat faedah menerusi penwujudan peluang pekerjaan, keusahawanan dan penyediaan perkhidmatan bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat.

"Kerajaan percaya dari segi jangka panjang, faedah pelaksanaannya boleh diterima oleh semua rakyat termasuk masyarakat di luar bandar," katanya. BERNAMA

Artikel Lain