suria

Lelaki tidak waras dibebaskan tuduhan bunuh bapa

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan seorang lelaki tidak waras daripada tuduhan membunuh bapanya dan memerintahkannya ditahan di Hospital Bahagia, Hulu Kinta, Perak setelah mendapat perkenan Yang diPertuan Agong.

Hakim Datuk Ghazali Cha dalam penghakimannya berkata walaupun pihak pendakwaan dapat membuktikan kes terhadap Mohd Zin Ismail, 41, tetapi mahkamah berpendapat ketika pembunuhan dilakukan, tertuduh berada dalam keadaan tidak waras dan tidak mengetahui akibat daripada perbuatannya.

Lelaki itu didakwa membunuh Ismail Talib, 79, di rumah No. 115 Jalan Ikhlas, Bandar Tun Razak, antara jam 2 pagi hingga 3 pagi, 8 Nov 2006.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa sedang tidur apabila Mohd Zin, yang bersenjatakan sebilah pisau masuk ke dalam biliknya lalu menikam di bahagian perut sebelum mengelar lehernya.

Ismail, pesara kerajaan, mati di tempat kejadian dan tertuduh ditahan polis apabila beliau menyerah diri tiga jam selepas kejadian.

Ghazali berkata keterangan Dr Rabiah Mohd Salleh dari Hospital Hulu Kinta menunjukkan bahawa ketika kejadian, Mohd Zin mengalami penyakit mental yang serius.

Beliau berkata Dr Rabiah juga memberitahu mahkamah bahawa hasil pemeriksaannya, tertuduh mendengar suara-suara dan melihat perkara-perkara yang tidak boleh dilihat oleh orang lain.

"Mahkamah berpendapat Mohd Zin telah melakukan perbuatan itu tanpa sebarang niat jenayah dan dengan ini tertuduh dibebaskan daripada tuduhan membunuh sepertimana diperuntukkan di dalam Seksyen 347 Kanun Acara Jenayah apabila seorang itu didapati tidak waras ketika melakukan kesalahan membunuh," kata Ghazali.

Mohd Zin diwakili Datuk Baljit Singh Sidhu dan pendakwaan dilakukan oleh AinNur Amiyyerra Abdullah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain