suria

PGM tumpaskan cubaan seludup tenggiling ke negara jiran

PENGKALAN KUBOR: Pasukan Gerakan Marin (PGM) hari ini berjaya menumpaskan cubaan beberapa lelaki untuk menyeludup tenggiling ke negara jiran, ketika pasukan itu meronda di kawasan tebing Sungai Mentua, dekat sini.

Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor DSP Tan Cheng San berkata rampasan haiwan eksotik itu dibuat dalam Ops Octopus kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Ketika sedang melakukan rondaan, anggota PGM terserempak dengan sebuah bot enjin galah sedang menghala masuk ke Sungai Mentua dengan dinaiki tiga lelaki dipercayai warga negara jiran," katanya kepada pemberita di sini.

Tan berkata pihaknya kemudian mengekori bot itu hingga ke jambatan Sungai Mentua sebelum mereka berhenti di kawasan berhampiran hutan nipah.

"Menyedari mereka diekori oleh anggota PGM, semua yang berada di atas bot melarikan diri ke dalam semak termasuk beberapa lelaki yang berada di tebing sungai," katanya.

Beliau berkata setelah diperiksa di kawasan semak berhampiran tebing sungai, pihaknya menemui lima guni jaring kecil berwarna biru yang mengandungi enam ekor tenggiling.

"Kita percaya mereka merancang untuk membawa tenggiling itu ke negara jiran dan kemungkinan akan dijual kepada restoran makanan eksotik," katanya.

Tan berkata berat enam ekor tenggiling itu dianggarkan 25 kilogram dengan harganya kirakira RM150 bagi setiap kilogram dan dijangka harganya lebih mahal apabila dijadikan hidangan di restoran.

"Semua tenggiling yang dirampas itu diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut," katanya. BERNAMA

Artikel Lain