suria

Parti sokong Thaksin menang pilihanraya kecil di Thailand

BANGKOK: Parti Phue Thai Party memperolehi kemenangan besar yang kedua minggu ini dengan memenangi pilihan raya kecil kawasan parlimen Si Sa Ket semalam, satu lagi tanda sokongan berterusan terhadap Perdana Menteri Thailand yang ditumbangkan, Thaksin Shinawatra.

Calon Phue Thai Surachart Charnpradit memperolehi 124,327 undi untuk menewaskan Sakulthip Angkasakullkiat dari parti kerajaan pakatan, Chart Thai Pattana Party, yang memperolehi 76,435 undi.

Pilihan raya itu diadakan selepas anggota Parlimen dari parti Chart Thai dilucutkan dari jawatannya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand.

Kemenangan di Si Sa Ket muncul hanya seminggu selepas parti itu memenangi pilihan raya kecil di Sakhon Nakhon dengan menewaskan Bhum Jai Thai Party, yang merupakan sebuah parti yang menjadi anggota kerajaan pakatan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva.

Pemimpin Phue Thai, Chalerm Yoobamrung berkata kemenangan itu disebabkan oleh sokongan orang ramai yang masih kuat terhadap Thaksin, di mana menurutnya pengundi di wilayah barat laut Thailand masih memandang tinggi bekas Perdana Menteri itu ekoran dasar-dasar popular yang dilaksanakannya dalam tempoh awal pentadbirannya iaitu antara 2001 dan 2005. Kemenangan itu memberikan satu lagi tamparan terhadap kerajaan Abhisit yang sedang menghadapi masalah apabila kerajaan yang baru berusia tujuh bulan itu dibebani dengan pelbagai cabaran termasuk masalah dalaman serta keadaan ekonomi yang semakin buruk.

Parti Demokrat yang diterajui Abhisit mengambil alih pentadbiran kerajaan pada bulan Disember lepas dengan bantuan partiparti kecil yang mengalih sokongan mereka selepas abang ipar Thaksin, Somchai Wongsawat, diharamkan dari politik manakala parti pimpinannya People's Power Party (PPP) dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan atas dakwaan menipu pada pilihan raya 2007, iaitu pilihan raya yang dimenangi PPP.

Thaksin ketika ini hidup dalam buangan, namun beliau dilihat masih mempunyai pengaruh dalam persekitaran politik di Thailand.

Sabtu lepas lebih 30,000 penunjuk perasaan berbaju merah yang dikaitkan dengan sokongan terhadap Thaksin mengadakan perhimpunan di Bangkok, dan beberapa demonstrasi lagi dijangka akan diadakan di mingguminggu akan datang. BERNAMA

Artikel Lain