suria

MP DAP PJ Utara dibuang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua dibuang Dewan Rakyat - sehari - tengah hari tadi kerana mengingkari arahan Timbalan Speaker Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar agar duduk ketika perbahasan.

Arahan itu dikeluarkan beberapa minit sebelum sidang Dewan Rakyat berhenti untuk rehat pukul 1 tengah hari tadi.

"Saya tidak tahu apa kesalahan saya sehingga saya dibuang dari Dewan... saya hanya berdiri untuk minta laluan bagi mencelah (Ahli Parlimen-BN) Pasir Salak (Datuk Tajuddin Abdul Rahman)," kata Pua ketika ditemui di lobi Parlimen.

"Beliau (Timbalan Speaker) minta saya keluar, saya keluar lah," katanya.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang berharap Wan Junaidi akan menarik balik keputusan bagi membolehkan Pua mengambil bahagian dalam sesi perbahasan sebelah petang nanti Wan Junaidi mendakwa Pua bertindak tidak mengikut aturan mesyuarat.

Ketika Tajuddin berbahas, Pua bangun dan mengemukakan soalan sektor mana yang beliau "mahir" apabila wakil rakyat Pasir Salak itu mengatakan bahawa ahli-ahli Parlimen membahaskan segala isu yang mereka "tidak biasa".

Pada ketika itu, Wan Junaidi meminta Pua duduk memandangkan ia merupakan ruang bagi Tajuddin membahaskan usul, malah tidak diberi ruang oleh wakil rakyat itu. "Bila saya mengarahkan yang lain duduk, mereka duduk," katanya.

Pua yang duduk, kemudian bangun semula untuk mencelah Tajuddin.

Ekoran tindakannya itu, Wan Junaidi mengarahkan Pua keluar Dewan Rakyat. Kejadian berlaku ketika sidang membahaskan usul pembahagian semula peruntukan bagi beberapa kementerian ekoran penyusunan Kabinet baru-baru ini.

Usul itu dibahaskan sejak semalam. Dewan Rakyat akan bersidang semula pukul 2.30 petang hingga 6 petang.

Artikel Lain